top of page
IMG_9461.JPG

PROGRAM PEMBANGUNAN
PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT MALAYSIA
ANJURAN PKPKM-SOLIDARIDAD

Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) dengan Kerjasama Solidaridad Network (Malaysia) Berhad telah mengadakan siri Program Pembangunan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Malaysia, bertujuan memberikan pemahaman kepada pekebun kecil kelapa sawit persendirian berkenaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan oleh Kerajaan kepada keseluruhan industri minyak sawit negara dan kesannya kepada pembangunan sosioekonomi pekebun kecil.

Bagi projek pertama, PKPKM dan Solidaridad telah bersetuju supaya program tersebut diadakan di negeri Perak dan Johor, melibatkan 1,600 orang pekebun kecil secara keseluruhan. Setakat 28 Disember 2022, sebanyak 5 program telah berjaya diadakan di Perak (Sungkai, Kuala Kangsar, Manjung, Larut Matang dan Teluk Intan) melibatkan kehadiran seramai 770 orang pekebun kecil kelapa sawit.

Sepanjang program ini dijalankan, pekebun kecil diberikan pendedahan berkenaan potensi meraih pendapatan lumayan apabila memahami keperluan mematuhi Piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO 2.0), memahami dan melaksanakan urus tadbir operasi kebun sawit dengan tatacara yang mampan serta meningkatkan kefahaman berkaitan urusniaga BTS dengan pihak ketiga. Peserta juga dibawa melawat ke pusat pungutan buah sawit untuk lebih memahami peranan penting pekebun kecil dalam rantaian bekalan minyak sawit negara.

Selepas pembentangan dijalankan, pekebun kecil memberikan maklum balas yang baik antaranya memahami mengenai kepentingan amalan kemampanan, memahami kepentingan pensijilan MSPO, kaedah pengurusan ladang yang baik dan mampan, serta mengenal buah tandan muda/masak dan pengredan asas buah sawit. Sijil penyertaan juga diberikan kepada peserta pada akhir sesi program.

Bagi tahun 2023, program ini akan diteruskan di negeri Johor bermula awal Januari 2023. Oleh itu PKPKM menjemput semua pekebun kecil kelapa sawit persendirian di Johor supaya menyertai program percuma ini. Sekiranya berminat, boleh berhubung dengan Ibu Pejabat PKPKM di talian 03-4251 0984 atau Pengerusi PKPKM Negeri Johor, Encik Roslan bin Mohd Nor di talian 011-5501 7389.

IMG_8060
IMG_7907
IMG_7938
IMG_7994
IMG_7940
IMG_8035
IMG_7950
IMG_8040
IMG_8003
bottom of page