top of page

PERMUDAH URUSAN MOHON TANAM SEMULA KELAPA SAWIT OLEH PEKEBUN KECIL

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor mempermudahkan permohonan pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 untuk pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara. Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Adzmi Hassan, berkata pihaknya menerima beberapa keluhan daripada golongan itu tahun lalu mengenai kesukaran membuat permohonan tanam semula. Puncanya, katanya terlalu banyak dokumentasi dan prosedur diperlukan pihak bank untuk meluluskan pembiayaan.

 

Malah, ada pekebun kecil mengeluarkan modal permulaan sendiri untuk tujuan tanam semula sementara menunggu kelulusan bank, namun terkejut dan kecewa dimaklumkan permohonan tidak berjaya. "Kami cadangkan kerajaan menyediakan panduan lengkap kepada pekebun kecil kelapa sawit yang mahu membuat permohonan pembiayaan bagi mengelakkan kekeliruan, terutama berhubung kadar keuntungan 2 peratus dikenakan.

"Kerajaan perlu menjelaskan definisi 2 peratus itu sama ada ia kadar keuntungan atau caj perkhidmatan. "Jika kadar keuntungan untuk bank, ia sudah pun mempunyai keuntungan apabila kerajaan menyalurkan dana itu kepada bank, manakala caj perkhidmatan tidak sepatutnya dikenakan kepada pekebun kecil," katanya.

Jelas beliau lagi, perlu juga diperjelaskan sama ada kadar 2 peratus itu dikenakan untuk keseluruhan amaun iaitu RM14,000 atau daripada jumlah dipinjam sahaja iaitu RM7,000. PKPKM, katanya, akan bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membantu menguar-uarkan insentif pembiayaan berkenaan kepada pekebun kecil dalam program dianjurkan persatuan.

Katanya, geran TSPKS yang asalnya diberikan kerajaan adalah RM7,500 per hektar sehingga 2018, sebelum ia ditukar kepada pinjaman mudah."PKPKM berharap pekebun kecil dapat memanfaatkan pembiayaan berkenaan berikutan geran diberikan masih ada, walaupun hanya RM7,000 (kurang RM500), manakala bakinya adalah berupa pinjaman.

"PKPKM juga akan terus memperjuangkan supaya Geran TSPKS diberikan 100 peratus percuma untuk pekebun kecil pada masa akan datang," katanya.

Sumber Foto - Berita Harian

bottom of page