top of page

SEJARAH PKPKM

(Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Maka Sidang Redaksi NADI berpendapat semua ahli perlu mengetahui asal usul perjuangan PKPKM supaya timbul kesedaran peranan yang dimainkan oleh Badan ini. Sejarah penubuhan Persatuan ini dipetik daripada Buku Cenderamata Sempena Genap 30 Tahun Usia Persatuan 1951 -1981)

 

Mengikut rekod, pertubuhan pertama yang diwujudkan untuk memperjuangkan kedudukan pengeluar-pengeluar getah asli di Negara kita ialah “The United Planters Association of the Federated Malay States” pada tahun 1897.

 

Selepas itu sebuah lagi badan yang dinamakan “The Rubber Growers Association”(RGA) di tubuhkan di London pada tahun 1907

 

Ini kemudiannya diikuti dengan penubuhan “The Malayan Estate Owners Association” (MEGA) di Kuala Lumpur pada tahun 1931.

 

Seterusnya nama “The United Planters Association of the Federated Malay States” telah ditukar kepada “The United Planting Association of Malaysia” (UPAM) pada tahun 1968.

 

Pertubuhan-pertubuhan ini semuanya bertujuan melindungi perusahaan getah serta pertanian, di samping menjaga kepentingan pemilik-pemilik ladang dan Syarikat-Syarikat Perladangan di Malaya/Malaysia.

 

Pada bulan Mac 1951, dengan tujuan hendak mengukuhkan lagi pendirian mereka, maka pertubuhan-pertubuhan ini telah mewujudkan pula Majlis Pengeluar-Pengeluar Getah Malaysia (MRPC) sebuah badan yang menyuarakan pendapat seluruh perusahaan getah di negara ini. Tujuan MRPC adalah meliputi tujuan-tujuan RGA, MEOA dan UPAM.

 

DI sector pekebun kecil, mereka mula menyedari semenjak Encik Mohd Isa bin Pandak Aris mula mengusahakan tanaman getah di Kuala Kangsar dan pekebun-pekebun kecil yang mengusahakan getah pada penghujung abad Ke- 19 sehingga 1951, hidup mereka terbiar dengan usaha sendiri di kampong-kampung dan tiada siapa yang menghirau keadaan dan nasib mereka.

 

DI atas kesedaran ini, maka pada 5 Oktober 1951, lebih kurang 6 bulan selepas MRPC ditubuhkan, sebuah pertubuhan di Batu Pahat. Di samping pertubuhan induknya, cawangan-cawangan di daerah-daerah Negeri Johor terus berjalan dengan cergasnya.

 

Perkembangan di Negeri Johor kemudiannya diikuti dengan tertubuhnya Persekutuan Pekebun-Pekebun Kecil Negeri, iaitu di Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Melaka dalam tempoh 1952-1956, masing-masing persekutuan dengan cawangan-cawangannya di daerah-daerah.

 

Bagi menguatkan lagi perpaduan di kalangan pekebun-pekebun kecil, maka pada 28 Februari 1956, pada Mesyuarat Permulaan Penubuhan yang dirasmikan oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan tanah Melayu, maka tertubuhlah Majlis Persukutuan-Persukutuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaya (Council of Malayan Smallholders Association-CMSA)

 

Sebaik sahaja tertubuhnya CMSA,maka jawatankuasa Kerjanya terus memohon menjadi ahli dalam MRPC. Pada bulan April 1956, MRPC menerima 5 orang wakil daripada CMSA menjadi ahlinya, iaitu kali pertama dalam sejarah pergerakan dan perjuangan pekebun-pekebun kecil Berjaya duduk bersama-sama wakil RGA, MEOA dan UPAM untuk memaju, memelihara dan melindungi hak dan kepentingan pengeluar-pengeluar getah asli dalam Persekutuan Tanah Melayu.

 

Dalam dekad tahun 60an terbit beberapa kelemahan dalam perjalanan CMSA dan persukutuan-persukutuan ahlinya disebabkan masalah pentadbiran dan berterusan sampai kepada dekad 70an. Kelemahan ini menyebabkan persukutuan-persukutuan di peringkat negeri dan cawangan boleh dikatakan tidak lagi berfungsi.

 

Pada tahun 1970, beberapa pemimpin CMSA bersama cerdik pandai lain telah menubuhkan Persukutuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Barat (PKPKMB) dengan tujuan mengukuhkan semula pendirian pekebun-pekebun kecil dengan pentadbiran yang lebih kemas dan tegas.

 

Persekutuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Barat ini telah ditubuhkan dan didaftarkan dalam bulan Ogos, 1970 dengan ahli-ahli Majlis Tertingginya diketuai oleh Y>B Tuan Haji MOhd Yusof bin Mahmud sebagai yang Dipertua.

 

Pergerakan Persekutuan baru ini telah menimbulkan kegelisahan di pihak CMSA dan ahli-ahli persekutuannnya.

 

Ternyata pertentangan di antara PKPKMB dan CMSA meningkat naik dan tegang di antara kedua-dua badan ini.

 

Berkat usaha pemimpin-pemimpin pekebun kecil dan orang-orang atasan, akhirnya, pada 6 Jun 1975, dalam Seminar Pembangunan Pekebun-Pekebun Kecil yang dianjurkan oleh RISDA di Universiti Pertanian Malaysia (UPM Serdang, Y.A.B Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan penubuhan rasmi Persatuan Lebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang menggabungkan dua persatuan pekebun kecil yang selama ini bergerak secara berasingan di negara ini.

 

Dengan pelancaran oleh Perdana Menteri, maka Persidangan Seminar terus secara rasmi menubuhkan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia dan menerima draf perlembagaanya serta melantik ahli-ahli jawatankuasa yang diketuai oleh Y.B Tuan Haji Mohd Yusof bin Mahmud.

 

Dengan tertubuhnya Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang diiktiraf oleh Kerajaan sebagai wakil tunggal pekebun-pekebun kecil,CMSA dan persekutuan-persukutuan peringkat negeri telah dububarkan berperingkat –peringkat dan ahli-ahlinya mendaftar menjadi ahli dalam Persatuan baru.

 

PKPKM yang didaftarkan pada 10 Disember 1975 terus bergerak menubuhkan bahagian-bahagian dan cawangan- cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia. Sehingga tahun 2023, PKPKM mempunyai keahlian seramai lebih 150,000 orang pekebun kecil di mana daripada jumlah tersebut, hampir 50,000 daripadanya adalah keahlian aktif. Kini, PKPKM giat menjalankan aktiviti berlandaskan 8 fungsi utama PKPKM untuk membantu memastikan kebajikan pekebun kecil terpelihara serta memastikan pekebun kecil sentiasa inklusif dalam usaha Kerajaan membangunkan negara.

bottom of page