top of page

KENYATAAN MEDIA PKPKM

HARAPAN PEKEBUN KECIL MENJELANG BELANJAWAN MALAYSIA 2024

SETIAWANGSA, 12 OKTOBER 2023 - Pekebun Kecil Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Madani berkenaan inisiatif untuk kebajikan pekebun kecil menjelang Belanjawan 2024 yang akan diadakan pada 13 Oktober 2023.


Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi bin Hassan berkata pekebun kecil kelapa sawit dan getah mengharapkan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan inisiatif-inisiatif yang membolehkan pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka.


“Pekebun kecil kelapa sawit amat berharap Kerajaan mengembalikan semula Bantuan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) yang kini dijadikan pinjaman dan membebankan pekebun kecil yang mahu membuat tanam semula pokok yang sudah tua. Sehingga akhir 2022, sejumlah 270,000 hektar tanaman sawit Pekebun Kecil persendirian mencapai umur lebih 20 tahun dan 74,000 hektar dari jumlah ini telah melebihi 25 tahun dan perlu segera ditanam semula”, ujarnya.


“Kos pembangunan tanaman semula sawit adalah sekitar RM14,000 sehektar untuk Semenanjung dan RM18,000 untuk Sabah dan Sarawak . Sebelum ini kerajaan telah menyediakan skim pinjaman mudah pekebun kecil tetapi sambutan pekebun kecil amat tidak mengalakkan dimana hanya RM34 juta sahaja dari jumlah RM250 juta yang diperuntukan digunakan oleh pekebun kecil atas berbagai sebab tetapi sebab yang ketara adalah kebanyakan pekebun kecil telah berusia pada purat 65 tahun dan tidak mahu meminjam. Oleh itu adalah wajar pemberian geran tanam semula dapat direalisasikan kerana ia boleh mengurangkan beban kos tanaman semula sawit dalam keadaan kos kehidupan yang meningkat”, ujarnya lagi.


Adzmi turut berkata, tanam semula sawit amat penting kepada ekonomi negara dalam keadaan dimana pengeluar sehektar buah sawit negara telah menurun kepada 15.49 tan sehektar pada tahun 2022.


“Jika masalah ini tidak diatasi kerajaan akan kehilangan pendapatan eksport dari sumbangan sawit dalam jangka panjang dan dikhuatiri industri pekebun kecil sawit akan pupus seperti yang berlaku kepada industri getah”, tambah beliau.


Untuk sektor getah pula, Adzmi berkata pekebun kecil getah berharap Kerajaan dapat menyelesaikan isu harga getah rendah dengan mengenalpasti cara mengurangkan kos yang dibebani oleh pekebun kecil.


“Jumlah ladang getah pekebun kecil yang tidak bertoreh adalah 409,172 hektar yang melibatkan 221,859 orang pekebun kecil di seluruh negara. Puncanya disebabkan pekebun kecil menanggung banyak kos antaranya harga baja dan racun yang meningkat berkali ganda serta pemberian kadar upah kepada penoreh. Kenaikan ini amat membebankan mereka dan menjadi punca utama pekebun kecil getah tidak keluar menoreh”.


“Kos yang dikeluarkan pekebun kecil adalah pada kadar RM3.50 untuk setiap kilogram getah, manakala Kerajaan hanya meletakkan harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) apabila harga jatuh ke paras RM2.70 sekilogram. Walaupun IPG diperkenalkan ianya masih tidak dapat menampung kos sara hidup pekebun kecil getah yang berada di bawah kemiskinan tegar. Kerajaan perlu mengenalpasti penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kos yang dikeluarkan pekebun kecil untuk meransang mereka kembali menoreh”.


***Tamat***

bottom of page